PEMIKIRAN

(DALAM PROSES PEMBINAAN)

PENGENALAN (1918-2005)

Sheikh Ahmed Deedat adalah seorang tokoh Islam yang popular di peringkat antarabangsa, beliau merupakan pakar dalam membincangkan perbandingan agama terutama agama Yahudi, Nasrani, Hindu dan Kristien. Dengan Izin Allah setiap kali berhujah beliau sentiasa berjaya mematikan hujah lawan yang menghina Islam, beliau telah  membuktikan keindahan dan kebenaran Islam.Latar belakang

Ahmad Deedat atau nama sebenarnya Ahmed Hoosen Deedat dilahirkan di Surat, India pada tahun 1918. Selepas dilahirkan, kerana kesukaran hidup kesan perang dunia pertama ayah beliau yang bekerja sebagai tukang jahit telah  berhijrah ke Afrika Selatan, kerana kekurangan wang pada tahun 1927, ayahnya meminta  Ahmad Deedat datang ke Afrika selatan seorang diri dahulu, ibunya akan menyusul kemudian.


Walaupun belum berpeluang memiliki pendidikan yang formal, Deedat memberanikan diri berhijrah demi mengubah dan memperbaiki taraf hidup keluarganya selama ini. Rupa-rupanya langkah untuk menyusul ayahnya merupakan perjumpaan terakhir dengan ibunya apabila ibunya meninggal dunia selang beberapa bulan selepas Deedat meninggalkan tanah kelahirannya. Dalam usia sembilan tahun beliau telah ke Afrika Selatan, cuma dia seorang sahaja kanak-kanak dalam kapal tersebut. Nasib tidak menyebelahi beliau, sehari sebelum beliau sampai di Afrika Selatan, kerajaan British telah membuat undang-undang bahawa kanak-kanak tidak boleh memasuki negara tersebut tanpa diiringi oleh waris. Beliau ditahan, namun bapanya seorang yang berani dan tegas, pergi ke pelabuhan memegang tangan Deedat dan terus membawanya keluar tanpa memperdulikan jeritan dan halangan pegawai Inggeris.

Hidup di perantauan yang mempunyai perbezaan budaya, bahasa dan suasana persekitaran merupakan suatu yang mencabar. Namun kesemua faktor itu bukan penghalang beliau untuk merebut peluang yang tersedia. Beliau terus berusaha menyesuaikan diri dengan suasana persekitaran. Berkat ketabahan, kegigihan dan kesungguhannya dalam mempelajari serta menggunakan setiap peluang yang ada, pada usia 9 tahun,  Deedat yang tidak pernah mendapat pendidikan secara formal dalam bahasa Inggeris sebelumnya, telah berjaya menghadapi halangan bahasa untuk menjadi pelajar yang cemerlang di sekolahnya. Minat membaca serta kesungguhannya yang mendalam dalam menuntut ilmu membolehkan beliau mendapat keistimewaan daripada pihak sekolah sehingga beliau menamatkan darjah enam.

Pada masa itu yuran pengajian peringkat tinggi  sangat mahal, bapanya tidak berkemampuan untuk menyekolahkannya. Namum, kerana kecerdikan dan kepandaiannya  seorang peniaga yang kaya telah berjanji untuk membayar yuran pengajiannya di peringkat tinggi.  Justeru Ahmed Deedat meneruskan pengajiannya, tetapi orang kaya itu tidak juga membayar yuran persekolahannya. Oleh itu setiap kali guru meminta yuran Deedat akan berkata esok, akhirnya Deedat pergi berjumpa dengan orang kaya tersebut dan bertanya mengenai yuran pengajiannya, orang kaya itu berkata ia cuma bergurau....  Jadi Ahmad Deedat terpaksa berhenti sekolah. Minat terhadap ilmu menyebabkan beliau pergi ke perpustakaan meminjam buku untuk dibaca, hinggakan pada akhirnya beliau terlalu sukar untuk mencari buku kerana kebanyakan buku telah dibacanya.

Pada awal usia 16 tahun beliau telah melibatkan diri dalam bidang perniagaan apabila bekerja sebagai jurujual. Pengalaman yang diperoleh sepanjang melibatkan diri perniagaan tersebut  merupakan faktor utama yang mendorong beliau melibatkan diri dalam bidang dakwah sehingga ke hari ini. Pada ketika itu beliau bekerja di sebuah kedai menjual garam,gula dan tepung milik orang Islam. Kedai tersebut terletak berhampiran sebuah sekolah menengah Kristian (Missionary school)di Natal South Coast. Oleh sebab masyarakat Islam merupakan golongan minoriti di sana, mereka dipandang rendah oleh masyarakat tempatan.


Setiap kali pelajar dari sekolah tersebut  pergi ke kedainya mereka mempraktikkan apa yang mereka belajar di sekolah tersebut, mereka mengutuk nabi Mohammad dengan mengatakan baginda berkawin dengan kanak-kanak, kuat nafsu dan Islam dikatakan disebar dengan mata pedang. Beliau tidak berupaya untuk menjawab soalan-soalan tersebut. Beliau menerima penghinaan yang tidak henti-henti daripada pelajar yang merupakan bakal mubaligh-mubaligh Kristian itu. Mereka sering memperleceh ajaran Islam apabila bertemu dengan Deedat di kedai tersebut. Pengalaman pahit ini telah melahirkan keazaman yang membara dalam diri anak muda ini untuk menentang propaganda dan dakyah palsu pelajar berkenaan.

Seolah-olah telah ditakdirkan, Deedat kemudian menemui sebuah buku berjudul Izharul-Haq yang bermaksud mengungkap kebenaran. Buku ini memaparkan kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh umat Islam di India dalam menghadapi gangguan dan ancaman paderi-paderi Kristian semasa penaklukan dan penjajahan Inggeris di India. Secara tidak langsung idea untuk menangani debat telah tertanam kukuh di dalam jiwanya. Deedat telah membeli kitab Injil dan kemudian melakukan debat dan diskusi dengan pelatih-pelatih mubaligh Kristian. Bagaimanapun mereka berundur secara tergesa-gesa dan dengan tidak beradab kerana tidak mampu berhadapan dengan kefasihan dan kelantangan Deedat dalam berhujah. Pelatih tersebut kemudian memanggil guru mereka serta pendeta-pendeta di daerah tersebut, untuk berdebat dengan Ahmad Deedat, semuanya gagal menandingi hujah-hujah Ahmed Deedat. Seterus dengan begitu berani Ahmed Deedat pergi mendengar khutbah Kristien di dalam gereja dan menyoal serta berdailog dengan paderi-paderi di situ, kesemua paderi tersebut gagal menunjukkan kebenaran agama mereka.


Beliau melihat kegiatan kristianisasi begitu berleluasa di Afrika Selatan pada waktu itu dan ia begitu membekas di dalam dirinya. Dari situlah beliau kemudian membuat persediaan untuk menghadapi mubaligh Kristian berkenaan.
  
 

Sheikh Ahmad Deedat pernah berkata: “Kalaulah tidak kerana tekanan mereka (mubaligh Kristian), nescaya Ahmad Deedat tidak akan menjadi peribadi seperti ini.”
Pada 1959, beliau mula menyusun strategi dakwahnya dan bekerja untuk dakwah Islam dengan cara mengadakan dialog dan perdebatan dengan paderi. Sheikh Ahmad Deedat memulakan kegiatannya dalam perdebatan pada 1944 di merata tempat seperti Hong Kong, Britain, Ireland, Kanada, Singapura, India, Zimbabwe, Mauritania dan Malawi.
Kepintaran beliau dalam berhujah menyebabkan beratus-ratus orang di Afrika Selatan dan juga sebilangan besar mubaligh Kristian memeluk Islam. Selain itu, beliau juga adalah pengasas kepada Pusat Dakwah Islam Antarabangsa di Durban, Afrika Selatan.

Salah satu daripada sumbangan beliau yang sungguh bermakna adalah menghasilkan tulisan yang memudahkan orang bukan Islam melihat kebenaran Islam. Sebagai seorang ulama yang lantang dalam soal agama Islam, ramai pemimpin dan tokoh agama lain di dunia gagal berdebat dengan Sheikh Ahmad yang juga terkenal dengan kebijaksanaannya ketika berpidato dalam ilmu perbandingan agama.
Kejayaan Deedat berhadapan dengan pendeta-pendeta Kristian menjadi pendorong kepada beliau untuk terus menggiatkan usaha berdakwah kepada masyarakat.

Selepas berkahwin dan mempunyai beberapa orang anak, beliau pernah menetap di Pakistan selama tiga tahun selepas negara tersebut memperoleh kemerdekaan. Kemudian kembali ke Afrika Selatan untuk meneruskan cita-citanya membela Islam. Beliau mengadakan kelas-kelas berkaitan pengajian Injil. Malah beliau telah mendirikan As-Salaam, sebuah institusi untuk melatih pendakwah-pendakwah Islam. Sepanjang penglibatannya dalam kegiatan dakwah, Deedat mendapat sokongan daripada isteri dan anak-anak mereka. Melalui institusi ini, mereka telah menaburkan pelbagai khidmat, termasuk mendirikan masjid dan pusat pendidikan yang masih kekal hingga ke hari ini.

Ahmad Deedat juga merupakan pengasas dan Presiden Islamic Propagation Centre International(IPCI), jawatan yang masih dipegangnya sehingga akhir hayatnya. Tokoh pendakwah yang gigih ini telah menerbitkan lebih daripada 20 buah buku dan mengedarkan berjuta-juta naskhah risalah dakwah secara percuma. Di peringkat antarabangsa, beliau telah di jemput berdebat dan mengadakan kuliah di pelbagai negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia. Sepanjang pembabitan dengan dakwah, beliau telah berdebat dengan ramai paderi Kristian. Atas usaha dan kesungguhannya itu, beribu-ribu orang yang pada mulanya prejudis terhadap Islam, menerima kebenaran apabila menganut agama Islam.


Sebagai penghargaan terhadap jasanya dalam bidang dakwah, beliau telah menerima anugerah King Faisal International Award pada tahun 1986. Anugerah yang berprestij menghargai kegigihan dan pengorbanan seorang tokoh terhadap kemajuan Islam di peringkat antarabangsa.

Bagi Deedat, debat adalah satu bentuk muzakarah dalam mencari sesuatu kebenaran. Beliau berkata, keagungan peradaban Islam akan luntur beransur-ansur jika umatnya enggan kembali kepada amalan tradisi, iaitu bermuzakarah bagi menangani sebarang masalah yang dihadapi. Katanya, pergeseran di kalangan umat Islam sering didasari sikap taksub kepada fahaman tertentu yang pada pada anggapan penyokong fahaman tersebut adalah benar. Menurut Deedat, sikap taksub inilah punca utama berlakunya pelbagai bentuk perselisihan di kalangan umat Islam di seluruh dunia. Malah lebih malang lagi perselisihan ini telah mengakibatkan berlakunya pertumpahan darah sesama umat Islam.

Dalam usaha menjaga kemurnian ajaran Islam, Deedat juga pernah menghantar surat kepada Rashad Khalifah, tokoh berasal dari Tucson, Arizona Amerika Syarikat yang mendakwa dirinya Utusan Tuhan. Rashad Khalifa yang terkenal dengan teori komputer berkaitan al-Quran, menolak hadis dan sunnah Rasulullah. Dalam satu surat yang dihantar kepada Rashad Khalifa bertarikh 20 Mei 1988, Deedat telah mendesak Rashad menarik balik dakwaannya dan mengajak Rashad Khalifa berdebat dengannya di Madison Square Garden, New York. Namun Rashad Khalifa enggan bertemu dan melayan permintaan untuk berdebat yang ditawarkan oleh Ahmad Deedat.

Ahmad Deedat yang pernah melawat Malaysia, juga pernah corak kepimpinan Malaysia yang dianggapnya sebagai pemimpin dunia Islam yang berwibawa. “Saya mengagumi pemimpin awak, tetapi sayang belum pernah ada pemimpin Malaysia melawat bagi mendapat pandangan saya dalam menyelesaikan kemelut Islam masa kini.”

“Saya juga mengenali Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri Malaysia pertama) dan beliau (Allahyarham) seorang pemimpin yang baik,” katanya kepada wartawan Malaysia sewaktu rombongan Malaysia mengunjungi beliau. Ahmed Deedat pernah berceramah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, pada 21 Februari 1992, di samping berkunjung ke beberapa tempat termasuk Johor dan Selangor serta beberapa universiti tempatan.

Sesungguhnya, sumbangan Ahmad Deedat sangat bermakna buat perkembangan Islam di Afrika Selatan dan juga seluruh dunia. Kegigihan beliau dalam mempertahankan Islam daripada dicemari oleh propaganda agama lain patut dicontohi, dihargai dan diteruskan.


SEMASA SAKIT


Walaupun sakit beliau  dapat berinteraksi dengan mata dengan menggunakan sistem abjad secara berjadual yang dicipta khas bagi hubungan komunikasi dua hala dengan anaknya, Yousuf di rumahnya di di Verulam, Durban, Afrika Selatan.


Beliau berkomunikasi dengan mengelipkan kelopak matanya pada papan abjad, memilih abjad untuk membentuk perkataan, dan kemudian membentuk ayat yang dimaksudkan. Kaedah latihan beliau yang unik ini membolehkan beliau terlibat dalam perbincangan, juga untuk respons kepada sebarang pertanyaan.



Menurut Iqbal Jassat melalui tulisannya di dalam Times LENASIA bertarikh Ogos 1999, apabila Ahmad Deedat dimaklumkan bahawa Pejabat Media Review Network (MRN) terletak di Pretoria, Deedat lalu meminta satu naskhah buku karangannya berkaitan Islam dan Kristian yang berjudul The Choice dan meminta Iqbal merujuk pada muka surat tertentu yang berkaitan kunjungan beliau ke Pretoria pada tahun enam puluhan. Menurut Iqbal, suatu yang luar biasa di sebalik kecacatan yang dialami Deedat, daya ingatan dan mental beliau tidak terjejas. Deedat mungkin tidak boleh melafazkan kata-kata namun dia masih tidak hilang keupayaan untuk berkomunikasi.


PADA 8 Ogos 2005, dunia Islam benar-benar kehilangan seorang tokoh yang amat berwibawa iaitu Sheikh Ahmad Husien Deedat. Beliau adalah seorang yang amat lantang mempertahankan ajaran Islam daripada serangan mubaligh Kristian. Antara karya beliau yang masyhur adalah seperti ‘
The Choice Between Islam and Christianity’,
‘Is the Bible God Word?’,
‘What is His Name?’
 ‘al-Quran, The Miracles of Miracles’.
Antara perdebatan beliau yang hebat ialah
dengan Paderi Josh McDowell bertajuk ‘Benarkah Nabi Isa disalib?
dengan paderi Jimmy Swaggart bertajuk ‘Adakah Injil kalam Allah?’.


 
Sheikh Ahmad Deedat pernah berkata: “Kalaulah tidak kerana tekanan mereka (mubaligh Kristian), nescaya Ahmad Deedat tidak akan menjadi peribadi seperti ini.”
Pada 1959, beliau mula menyusun strategi dakwahnya dan bekerja untuk dakwah Islam dengan cara mengadakan dialog dan perdebatan dengan paderi. Sheikh Ahmad Deedat memulakan kegiatannya dalam perdebatan pada 1944 di merata tempat seperti Hong Kong, Britain, Ireland, Kanada, Singapura, India, Zimbabwe, Mauritania dan Malawi.
Kepintaran beliau dalam berhujah menyebabkan beratus-ratus orang di Afrika Selatan dan juga sebilangan besar mubaligh Kristian memeluk Islam. Selain itu, beliau juga adalah pengasas kepada Pusat Dakwah Islam Antarabangsa di Durban, Afrika Selatan.
Tidak dinafikan apabila membaca penulisan beliau, ia akan membuatkan anda terpegun dengan fakta yang dikemukakan.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmatNya kepada Sheikh Ahmad Deedat sekeluarga.